KUDAT – Kerajaan Sabah hari ini menyerahkan sebanyak 631 lot tapak rumah kepada penduduk di empat perkampungan pesisir pantai Kudat.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata lot tapak rumah berkenaan diberikan kepada penduduk yang benar-benar layak di Kampung Tanjong Kapor, Kampung Pangaraban, Kampung pantai Bahagia dan Kampung Muhibbah.

“Dulu tempat ini dikenali sebagai perkampungan setinggan. Orang yang tinggal di situ tidak tahu, bila mereka diusir dari tanah berkenaan. Nampun pada hari ini mereka telah menjadi tuan rumah dan pemilik tanah yang ada di situ.

“Inilah kebaikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedar akan tanggungjawabnya. Kami sentiasa prihatin dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian lot tanah berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir calon BN di kerusi Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang yang juga calon BN bagi kerusi DUN Tanjong Kapor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga calon BN Parlimen Kota Marudu.

Mengulas lanjut, Musa berkata penyerahan lot tapak tanah itu adalah hasil perbincangannya dengan Chee Kang yang meminta agar penduduk di kawasan itu mempunyai tapak rumah milik mereka sendiri.

“Oleh itu saya mengarahkan pengarah Jabatan Tanah dan Ukur untuk membuat perancangan membuat lot berkenaan dan akhirnya hari ini kami berjaya menyerahkan lot itu,” katanya.

Musa berkata pemberian lot tanah itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar rintihan rakyat.

“Kami (kerajaan) ada kuasa…oleh itu kami gunakan kuasa itu dengan baik untuk bantu rakyat…tidak ada salahnya kami gunakan kuasa demi rakyat, tetapi jangan salah guna kuasa untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Musa yang juga Pengerusi BN Sabah meminta rakyat Sabah, khususnya di Kudat terus menyokong kerajaan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Najib adalah Perdana Menteri yang paling banyak melawat Sabah serta meluluskan banyak peruntukan untuk rakyat Sabah. Beliau juga sedar Sabah merupakan negeri yang besar dan sudah tentu memerlukan peruntukan yang besar untuk pembangunan luar bandar.

“Jadi saya minta rakyat tidak terikut-ikut dengan parti pembangkang yang diwujudkan atas dasar kekecewaan. Kalau kita ikut parti yang ditubuhkan oleh pemimpin yang kecewa…maka akhirnya kita juga turut kecewa,” tambahnya. – BERNAMA

Source: https://www.mynewshub.cc/terkini/631-lot-tapak-rumah-diserahkan-kepada-penduduk/

Search