PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman membalas kata-kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal yang menganggap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “sangat takut” kehilangan negeri itu dan oleh itu kerap membuat lawatan.

Ketua menteri Sabah menepis kenyataan Shafie itu, dan berkata ia menunjukkan tanda-tanda kelemahan.

“Shafie tidak perlulah menggunakan taktik remeh-temeh dan keanak-anakan untuk mendapat sokongan.

“Kenyataannya kebudak-budakan dan satu-satunya sebab dia berkata begitu untuk menutup kelemahan sendiri.

 

“Hanya pemimpin yang berasa terancam akan menggunakan naratif tidak matang seperti itu,” katanya.

Musa menambah Najib kerap melawat Sabah dari sebelum demam pilihan raya bermula lagi, kerana Sabah dekat di hatinya.

“Najib sering melawat Sabah lebih daripada mana-mana perdana menteri lain. Dia datang ke sini sebelum pilihan raya lagi dan sebelum Warisan ditubuhkan. Dia bukan ahli politik bermusim,” katanya.

Musa membalas balik dengan mencabar keyakinan Shafie tentang “gelombang Warisan yang sedang terjadi di Sabah”.

“Jika Shafie begitu kuat, mengapa dia bimbang siapa datang sini dan berapa kerap mereka datang,” katanya.

Beliau menambah lawatan lebih dari sekali oleh kepimpinan BN ke Sabah perkara biasa dalam tempoh ini.

“Terutama di negeri sebesar Sabah di mana saiz daerah Kinabatangan sahaja sebesar Pahang,” kata Musa selepas menyerahkan geran berkelompok kepada warga Pitas hari ini.

Beliau menambah kempen Shafie sarat dengan retorik, janji kosong dan cadangan-cadangan terlalu hebat yang mungkin sekali tidak akan terlaksana.

“Apabila kamu mahu menawan hati rakyat, kamu janjikan bulan dan bintang. Itulah pembangkang. Itulah Shafie Apdal,” katanya

 

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/03/musa-hentam-shafie-kerana-anggap-najib-sangat-takut/

Search