KOTA MARUDU: Yayasan Sabah menawarkan 600 kekosongan kerja menerusi pengambilan pertama pekerja untuk operasi Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu yang dijadualkan siap, akhir tahun ini.

Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Rosmawati Lasuki, berkata kekosongan itu yang akan diisi menerusi sesi temuduga terbuka di SICC pada Jun depan adalah sebahagian daripada kira-kira 10,000 peluang kerja disediakan pusat konvensyen itu.

"Iklan mengenai temuduga terbuka itu dipaparkan di akhbar tempatan pada 29 April lalu dan temuduga dibuat secara terbuka pada 29 Jun," katanya pada program Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pantai Barat Utara, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman. Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Rosmawati berkata, pihaknya turut menawarkan peluang kerja di SICC kepada anak Sabah di Semenanjung sebagai galakan untuk mereka kembali berkhidmat di negeri ini.

Sementara itu, katanya, Yayasan Sabah yang pada asalnya bergantung kepada dana daripada sektor pembalakan kini semakin kukuh dengan portfolio perniagaan lebih luas dan menunjukkan prestasi cemerlang setiap tahun.

"Pada tahun lalu saja, 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu Yayasan Sabah menyumbang RM232.5 juta dividen kepada pemegang saham iaitu Kumpulan Yayasan Sabah menerusi Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).

"Di samping perniagaan, Yayasan Sabah meneruskan usaha konservasi hutan selaku perintis pengurusan hutan mapan di Asia Tenggara dengan seluas 142,709 hektar diwartakan setakat ini," katanya.
Dalam pendidikan, katanya, Yayasan Sabah aktif menyediakan bantuan kepada pelajar menerusi pelbagai kemudahan pendidikan dengan RM653 juta dibelanjakan membabitkan 101,730 pelajar sejak 1967 hingga tahun lalu.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/05/419907/600-jawatan-kosong-di-pusat-konvensyen-sabah 

Search