TAMBUNAN 2 Mei – Keputusan mencalonkan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan adalah bagi membantu memperkuatkan lagi Barisan Nasional (BN) di pedalaman, kata Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Katanya, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi meminta Pairin untuk terus menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tan Sri (Pairin) perlu diberi peluang kerana penyertaan beliau dalam Pilihan Raya Umum ini boleh membantu menguatkan BN khususnya di kawasan pedalaman.

“Pada mulanya Tan Sri telah menyatakan hasratnya untuk bersara daripada arena politik, tetapi selepas berbincang maka Tan Sri Pairin bersetuju menyertai pilihan raya umum kali ini,” katanya berucap pada program bersama rakyat di Dataran Pisompuruan dekat sini semalam.
Kira-kira 3,000 hadir pada program itu dan Musa turut me­nyampaikan geran tanah adat dan geran berkelompok kepada penerima dari beberapa buah kampung.
Musa yang juga Ketua Menteri turut menasihatkan rakyat supaya terus bersatu padu demi kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah.
“Banyak agenda pembangunan yang baik dan bermanfaat kepada rakyat sedang dirancang oleh BN,” katanya. – BERNAMA


Source : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/sabah/pairin-perkuat-bn-di-pedalaman-8211-musa-1.663771#ixzz5EPjohsVl

Search