SANDAKAN 1 Mei - Restoran masakan laut, Sandokan, merupakan lokasi baharu kepada pencinta hidangan tersebut yang sememang­nya popular di Sandakan.


Sejak dibuka enam bulan lalu, Sandokan yang terletak di Taman Pak Tak Jalan Airport Batu 7 di sini, kini mula menjadi salah satu lokasi kegemaran dan telah mempunyai pelanggan tetap yang ke­rap berkunjung ke restoran itu.

Dalam pelancarannya semalam, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, restoran milik anak jati Sandakan, Datuk Md. Afendi Hamdan itu bukan sahaja menawarkan hidangan istimewa, tetapi kewujudannya membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di situ.

“Saya percaya peluang pekerjaan ini berupaya membantu mengurangkan kadar pengangguran serta aktiviti tidak sihat dalam kalangan anak muda tempatan.

“Saya yakin, kewujudan premis ini akan mendapat sam­butan menggalakkan bukan sahaja daripada pelancongan tempatan, bahkan juga pelancong antarabangsa,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Ir. James Wong di pelancaran itu.

Yang turut hadir, Md. Afendi, pemimpin-pemimpin dan masyarakat dari sekitar daerah itu.

Meskipun baharu dibuka, Sandokan telah menerima tetamu istimewa kelmarin apabila ­pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja ke daerah itu telah singgah di situ bersama rombongannya untuk menikmati hidangan makan malam.

Sementara itu, Md. Afendi ketika ditemui berkata, restoran itu menawarkan pelbagai hidangan yang dimasak oleh chef berpengalaman untuk memastikan kepuasan setiap pelanggannya.

“Orang Sandakan atau orang luar yang berkunjung ke daerah ini bolehlah singgah ke Sandokan kerana hidangannya bukan sahaja enak, malah harganya pula sangat berpatutan.

“Kami menyediakan hidangan daripada hasil laut yang segar kerana keutamaan kami ialah kelazatan dan kegembiraan pelanggan selepas menikmati makanan yang dihidangkan,” katanya.

 

Source: http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/sabah/sandokan-tawar-hidangan-laut-istimewa-1.662869

Search