KENINGAU – Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut merupakan manifestasi keharmonian dan semangat muhibah rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. 

Beliau berkata, pesta itu diraikan bagi menyatakan kesyukuran terhadap hasil tuaian padi dan memperingati legenda Huminodun yang sanggup mengorbankan diri semata-mata untuk menyelamatkan kaumnya daripada kebuluran.

“Peristiwa ini memberikan pengajaran dan mesej penting tentang mustahaknya kita untuk sentiasa  bersyukur atas segala nikmat yang kita kecapi hari ini.
“Ia termasuklah nikmat kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang perlu terus kita pelihara dan pertahankan setiap masa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2018 di sini, hari ini.

Perasmian pesta itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang diiringi isteri, Toh Puan Norlidah  R M Jasni.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Musa berkata, perayaan itu memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk saling mengenali, memahami dan menghormati adat dan budaya suku kaum Kadazandusun dan Murut.
“Kepelbagaian dan khazanah budaya yang kita miliki ini menjadikan Sabah negeri yang sangat istimewa dengan pelbagai keunikan, yang tidak ada di tempat lain,” katanya.
Menurutnya, pelbagai acara yang diatur sepanjang sebulan pesta itu berupaya mengukuhkan lagi semangat muhibah dan persefahaman budaya selain menjadikan Sabah negeri contoh yang harmoni serta model terbaik dalam konteks kepelbagaian budaya.

Selaras dengan tema sambutan itu ‘Kaamatan Asas Perpaduan dan Persaudaraan’, Musa mengajak rakyat di negeri ini supaya memahami, menghayati dan mengaplikasikan tema itu dalam kehidupan supaya ia mencetus satu transformasi ke arah usaha melahirkan rakyat penyayang dan saling hormat menghormati.

“Saya mengharapkan semangat perayaan Pesta Kaamatan akan terus kekal dan menjadi wadah penyatu rakyat menerusi kepelbagaian dan keunikan budaya dalam semangat kekitaan, setia kawan, persefahaman dan harmoni,” katanya.

Musa juga menasihati rakyat Sabah supaya menginsafi bahawa kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini bukan wujud secara semulajadi dan ia perlu dipertahankan.
“Ia adalah hasil usaha dan pengorbanan pemimpin, kerajaan dan seluruh lapisan rakyat sejak dahulu hingga kini,” katanya. - Bernama

 

Source: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/sabah-sarawak/pesta-kaamatan-cerminan-perpaduan-keharmonian-1.828937

Search