WANITA dan belia akan terus diperkasakan bagi melaksanakan peranan yang lebih besar di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), sejajar dengan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata wanita mempunyai peranan penting dalam kemajuan dan pembangunan Sabah termasuk dalam perkhidmatan awam negeri yang dioperasikan berdasarkan merit, sekali gus memastikan wanita menjadi sebahagian daripada pembangunan utama negeri.

Musa berkata, kerajaan negeri berusaha untuk memastikan wanita di Sabah berdaya saing, kreatif dan inovatif supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan negeri.

Bagi wanita, belia dan sukan, sebanyak RM91.4 juta diperuntukkan dalam Bajet Negeri Sabah 2018 bagi mengukuhkan peranan mereka dalam membangunkan negeri dan membina negara.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM422.5 juta untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat di samping RM315.3 juta untuk sumber manusia dan teknologi maklumat, juga akan digunakan bagi memperkasa warga negara termasuk wanita dan belia.

BN Sabah juga akan terus menekankan pembangunan belia dan menyediakan bantuan sewajarnya bagi memastikan mereka bersedia menghadapi masa depan, sejajar pelan transformasi negara melalui Program TN50.

"Belia adalah aset negeri dan negara kerana mereka akan menjadi pemimpin masa depan," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/419420/memperkasakan-wanita-dan-belia-sejajar-dengan-tn50

Search