KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan gabungan kukuh antara muka baharu dan lama yang saling melengkapi dalam satu pasukan.

Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata BN Sabah menyenaraikan barisan terbaik terdiri daripada golongan muda yang dinamik serta pemimpin lama berpengalaman luas untuk bertanding di 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 25 kerusi Parlimen.

"Ini barisan terbaik yang membentuk gabungan kukuh dan saling melengkapi dalam satu pasukan BN, satu perjuangan dan satu barisan," katanya ketika menyampaikan ucapan ketika majlis pengumuman calon BN Sabah di Bangunan UMNO negeri di sini, hari ini.

Menerusi senarai calon itu, BN Sabah meletakkan enam muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 16 bagi DUN, manakala empat calon bakal membuat penampilan semula serta tujuh bertukar kerusi.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah, seterusnya mengingatkan penyokong, ahli serta pemimpin BN di semua peringkat supaya mengukuhkan semangat setia kawan dan memantapkan perjuangan demi memastikan kejayaan BN.

 
PENGERUSI BN Sabah, Tan Sri Musa Aman bersalaman dengan calon-calon BN selepas membuat pengumuman calon BN pada Majlis Pengumuman Calon BN Negeri Sabah PRU-14 di Bangunan UMNO hari ini. - Foto BERNAMA

"Saya selalu sebut Musa Aman tak penting, yang penting perjuangan parti, mesti memastikan kemenangan parti, bukan individu kerana kita mahu parti meneruskan kesinambungan membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri.

"Apa juga keputusan pucuk pimpinan kita akur, jangan marah, jangan merajuk...kita kena tolak ansur, percaya pada kepemimpinan parti.

"(Yang tidak dicalonkan) terimalah dengan lapang dada...kita tahu ada yang marah dan berkecil hati, tetapi jangan simpan apa-apa perasaan, terima qada dan qadar," katanya.

Berikutan itu, Musa yang akan mempertahankan DUN Sungai Sibuga, meminta bakal calon BN supaya terus turun ke kawasan masing-masing dan bekerja kuat demi memastikan sokongan rakyat terhadap parti itu terus meningkat.

"Kita boleh menang besar, (tetapi) kita akan wujud masalah kalau ada gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut...jangan sabotaj parti, kita semua kerja kuat bertahun-tahun, jangan kerana marah, persiapan kita sekian lama dirosakkan," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/04/417112/bn-sabah-kemuka-calon-saling-melengkapi-musa-aman

Search