KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini hari ini.

Manifesto yang menggariskan 20 komitmen itu diumumkan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman di Kompleks Sukan Likas dekat sini.

Hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 diletakkan sebagai komitmen utama BN Sabah.

"Selain itu, kami juga berjanji untuk mengukuhkan pembangunan modal insan sekali gus menyuburkan hubungan antara agama dan kaum di negeri ini.

"Menyedari keperluan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri manifesto BN Sabah juga menawarkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik di sini," katanya ketika berucap pada Pelancaran Manifesto BN Sabah PRU-14 di sini hari ini.

Dalam pada itu, seiring dengan komitmen mempertahankan keamanan negeri BN juga menggariskan usaha memperkasakan Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) termasuk bersedia menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

Keperluan peluang pekerjaan juga menjadi keutamaan dalam manifesto BN Sabah dengan usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.

Sehubungan itu, menjanjikan sebuah kerajaan yang stabil manifesto BN tidak ketinggalan menggariskan pengamalan sebuah kerajaan berintergriti tinggi.

Seramai 50,000 penyokong hadir pada majlis pelancaran manifesto BN Sabah. - K! ONLINE

Source: http://www.kosmo.com.my/negara/manifesto-bn-sabah-garis-20-komitmen-1.658081

Search