KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menggariskan 20 komitmen dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Manifesto bertemakan 'Tanah Airku Maju' yang dibentangkan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, di sini, malam ini, meletakkan usaha memelihara hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai komitmen pertamanya.

Musa ketika pembentangannya berkata, BN Sabah akan memastikan komitmen dilafazkan itu ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan.

Komitmen kedua, katanya, menyuburkan hubungan antara kaum dan agama yang mana agenda itu akan diinstitusikan melalui penubuhan Unit Khas Perhubungan Agama dan Kaum di bawah Jabatan Ketua Menteri.

"Kita juga menjunjung komitmen untuk memperluaskan lagi perkongsian kuasa di semua peringkat pentadbiran.

"Komitmen ketiga dan keempat berkaitan langsung dengan rakyat dalam kumpulan B40 iaitu merancak agenda membasmi kemiskinan hingga mencapai angka kemiskinan sifar dan membina lebih banyak rumah mampu milik.

'Kelima, komitmen berterusan menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), bukan saja meneruskan usaha penghantaran pulang PATI, malah memperhebatkan penguatkuasaan melalui gerakan 'tiada hari tanpa operasi'," katanya.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, turut disenaraikan ialah memastikan sempadan tidak dibolosi, sekali gus memelihara kedaulatan tanah air, memperkasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan menambah kelengkapan aset dan keanggotaan.

BN Sabah juga, katanya, akan mewujudkan peluang pekerjaan saksama selari dengan pembangunan pesat pelbagai sektor dan memastikan semua segmen masyarakat mendapat peluang saksama.

"Kelapan, kita akan meneruskan komitmen pengurusan tanah lebih cekap, melindungi tanah adat dan mempercepat proses permohonan tanah rakyat.

"Sejak pelaksanaan Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) dan Geran Komunal pada 2011 hingga 2017, seluas 211,343 ekar (84,537.2 hektar) tanah telah diserahkan yang memanfaatkan 32,014 orang ketua isi rumah.

"Bagi tahun 2018, sasaran kita adalah menyelesaikan permohonan tanah rakyat membabitkan keluasan 42,000 ekar (16,800 hektar)," katanya.

Beliau berkata, komitmen ke-10 ialah merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui Koridor Pembangunan Sabah yang merentasi setiap daerah.

"Pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo akan meningkatkan lingkaran perhubungan darat menghubungkan semua daerah," katanya.

Antara komitmen lain ialah mempertingkatkan pembangunan modal insan dengan menambah lebih banyak peruntukan biasiswa dan dermasiswa kepada anak Sabah.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/04/416960/pelihara-hak-dalam-ma63-komitmen-utama-bn-sabah 

Search