KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, menegaskan manifesto BN negeri bertemakan 'Tanah Airku Maju' yang dibentangkannya malam ini, bukan sekadar 'election exercise' atau janji pilihan raya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, sebagai sebuah parti bertanggungjawab, BN tidak menggubal manifesto atas dasar populariti semata-mata.

"Manifesto bukan janji palsu, bukan harapan palsu, tetapi azam dan tekad yang boleh dilaksanakan, bahkan ada yang sudah mula dilaksanakan. Berbeza dengan parti lawan, manifesto mereka hanya di atas kertas. Hanya janji kosong.

"Ketika pemimpin mereka ada kuasa sekian lama, sebagai Perdana Menteri, sebagai menteri kanan Persekutuan, apa mereka buat kepada kita di Sabah," katanya ketika membentangkan Manifesto BN Sabah di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di sini, malam ini.

Majlis itu yang menyaksikan BN Sabah mengemukakan 20 komitmen dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertemakan 'Tanah Airku Maju' dihadiri semua pemimpin parti komponen BN Sabah dan ribuan penyokong BN dari seluruh negeri.

Musa berkata, di peringkat negeri, ada pihak yang melaungkan slogan 'Sabah Ubah' tetapi gagal menyediakan perancangan dan agenda untuk rakyat, melainkan keinginan untuk berkuasa.

"Kita ingatkan sekalian rakyat `do not change for the sake of change' (Jangan tukar hanya sekadar mahu tukar) kerana ubah tidak semestinya menjamin kebaikan. Ada ubah membawa rebah, kerana ubah ada negara menjadi abu," katanya.

Sebelum membentangkan manifesto itu, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri turut memberi laporan berkaitan kedudukan dan pencapaian kerajaan BN pimpinannya untuk membuktikan ada dakwaan yang mengatakan Sabah kini miskin berbanding dahulu benar atau sebaliknya.

Perkara pertama, beliau menyebut dalam tempoh 30 tahun dari awal 1970-an hingga 2000, pendapatan negeri meningkat RM1 bilion kepada RM1.7 bilion pada tahun 2004, manakala dalam tempoh hanya 15 tahun selepas itu, hasil negeri meningkat tiga kali ganda, iaitu RM3 bilion menjadikannya mencecah RM4 bilion hari ini.

"Kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat dari RM59.5 bilion pada 2011 kepada RM73.8 bilion pada 2016. Dari kedudukan bawah, hari ini ekonomi negeri berada pada tangga kelima berbanding negeri lain.

"Kita tidak akan berhenti setakat ini. Matlamat kita menjadikan Sabah jauh lebih maju; negeri di bawah bayu, di atas mercu. Oleh itu, tanggapan bahawa Sabah adalah negeri termiskin adalah pembohongan besar semata-mata.

"Ketiga, dulu Sabah hampir bergantung penuh kepada hasil balak dengan 85 peratus pendapatan negeri bergantung kepada sektor pembalakan, hari ini kita mempelbagaikan sumber ekonomi. Pendapatan negeri meningkat berlipat kali ganda, kebergantungan kepada balak hanya pada kadar 13 peratus," katanya.

Katanya, ada pihak mendakwa balak Sabah sudah habis selain menuduh kononnya kerajaan BN mengeksploitasi khazanah hutan Sabah sedangkan ia tidak benar.

Beliau berkata, fakta jelas menunjukkan Sabah mempunyai kawasan hutan simpan terbesar di Malaysia dengan 53 peratus daripada keluasannya selain mempunyai kadar Kawasan Perlindungan Penuh (TPAs) tertinggi hingga 30 peratus dan menanam semula lebih 700,000 hektar kawasan hutan.

"Perkara yang saya sebutkan hanyalah sebahagian daripada senarai panjang pencapaian dan 'track record' parti dan kerajaan kita, yang juga kita paparkan dalam Makalah Manifesto BN Sabah bagi PRU-14 ini.

"Kita tidak mendabik dada menyatakan bahawa kita sempurna. Banyak lagi kepentingan rakyat yang perlu kita perjuangkan. Namun, untuk menuduh bahawa kita membawa Sabah berundur ke belakang, membawa Sabah daripada kekayaan kepada kemunduran, adalah tuduhan tidak berasas sama sekali," katanya.

Source: http://www.bhplus.com.my/berita/politik/2018/04/416957/manifesto-bn-sabah-bukan-sekadar-janji-pilihan-raya

 

Search