UALA LUMPUR: Hari ini mungkin merupakan hari yang ditunggu-tunggu rakyat negeri di Bawah Bayu apabila pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah akan disempurnakan oleh Pengerusi BN negeri, Tan Sri Musa Aman.

Pelbagai rupa poster pelancaran manifesto itu kelihatan sebagai makluman mengenai pelancaran itu yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Malah, 'marketing' pelancaran itu turut giat dijalankan menerusi media sosial seperti Whatsapp, Twitter, Facebook dan Instagram.

Syabas! Ini menunjukkan gelombang biru mempunyai biro teknologi maklumat yang 'buat kerja' serta menggunakan semua medium untuk menarik perhatian rakyat mengenai Manifesto BN Sabah.

Pastinya, semua rakyat Sabah sedar, akan kebolehan Musa yang juga digelar arkitek pembangunan negeri.

Jelas arus pembangunan infrastruktur yang dibangunkan beliau sejak memegang tampuk kepimpinan selaku Ketua Menteri Sabah.

Namun, adakah pembangunan yang pesat itu memuaskan hati para pengundi sekali gus mempengaruhi pola pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini? 

 

Dan, apakah antara ramalan yang akan jadi tumpuan pada pelancaran Manifesto BN Sabah malam ini.?

Bagi penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Saat Awang Damit, Manifesto BN Sabah akan selari dengan Manifesto BN di peringkat pusat, iaitu memartabatkan rakyat.

Ujar beliau, kos sara hidup perlu diberi keutamaan oleh BN Sabah jika mahu menarik sokongan rakyat, terutama golongan sederhana, miskin, serta penduduk yang tinggal di luar bandar.

"Dapatan kita, rata-rata rakyat di luar bandar yang berpendapatan sederhana mahu kos sara hidup ditangani. Tidak kira siapa pun yang akan memerintah (BN atau pembangkang), ini yang mereka mahukan.

"Mereka mahu isu-isu lokal seperti kos sara hidup, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), serta harga bahan api yang sering dimanipulasi pembangkang dapat diselesaikan (dikurangkan)," katanya ketika dihubung Astro AWANI pada Rabu.

Sehubungan itu, Saat yakin, BN Sabah pasti mempunyai mekanisme untuk mengimbangi masalah kos sara hidup dalam manifesto mereka.

Saat yang juga Pensyarah Kanan Komunikasi, Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan UMS juga yakin, isu perumahan iaitu pembinaan lebih banyak rumah mampu milik serta tawaran yang lebih fleksibel akan menjadi fokus Manifesto BN Sabah kali ini.

Ini merupakan kemahuan rakyat, keperluan rakyat mendiami sebuah rumah yang murah dan selesa.

Fasa ketiga yang akan ditekankan pada manifesto kali ini adalah keperluan bekalan air bersih untuk penduduk di luar bandar. Ini merupakan perkara asas yang akan diletakkan dalam manifesto itu sekali gus menjadikan BN sebuah kerajaan yang benar-benar prihatin akan kebajikan masyarakat luar bandar.

Fasa keempat pula ada pembangunan fizikal diperhebat, pendidikan diteruskan dan modal insan.

Kebolehan Musa mengemudi dan membawa pembangunan di Sabah tidak boleh disangkal. Beliau mempunyai idea yang bernas untuk membangunkan negeri ini.

Namun, adakah ia selari dengan peluang pekerjaan, tenaga kerja dan kemahiran yang ada di Sabah?

"Saya lihat, Manifesto BN Sabah akan memperhebat pembangunan fizikal. Selain itu pendidikan dan melahirkan modal insan berilmu akan diteruskan.

"Jika tiada peluang pendidikan di negeri ini, pastinya bantuan pendidikan akan ditingkatkan menerusi Yayasan Sabah," katanya.

Ujar Saat, soal keselamatan di pantai timur Sabah juga akan diberi perhatian dalam manifesto itu memandangkan pelbagai ancaman yang berlaku di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan Laut Sulu.

Apa yang diharapkan adalah Manifesto BN Sabah yang akan dilancarkan malam ini harus bersifat manifesto rakyat, kembali kepada rakyat agar sokongan tidak berbelah bahagi itu sampai.

Manifesto BN Sabah juga jangan hanya mahu menggapai langit tetapi lupa akan rumput di bumi. Manifesto itu harus boleh ditunaikan.

Search