SANDAKAN, 22 April (Bernama) -- Dakwaan Parti Warisan Sabah yang ia akan menjadi pemain utama sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 adalah impian tidak akan menjadi kenyataan, kerana ia hanya boneka Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata adalah ironi bagi Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal kini bercakap tentang memperjuangkan keperluan rakyat sedangkan beliau gagal melaksanakan tanggungjawab, dalam kementeriannya dan malah di kawasan diwakilinya semasa beliau menjadi menteri Kabinet Persekutuan.

Katanya jelas terserlah sifat hipokrit Shafie yang tiba-tiba kini mahu memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedangkan tidak berbuat demikian semasa mempunyai autoriti ketika berada dalam kerajaan dan berhubung rapat dengan mereka yang berkuasa seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sekarang tiba-tiba beliau mahu menyelamatkan Sabah untuk rakyat Sabah dan menyelesaikan isu MA63 ? Beliau kini bekerjasama dengan Dr Mahathir, yang gagal menjaga kebajikan rakyat Sabah selama 22 tahun menjadi perdana menteri dengan tidak mengiktiraf kepentingan Hari Malaysia, apatah lagi Perjanjian Malaysia 1963," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat daerah mengundi Batu Putih di sini, hari ini.

Beliau berkata semasa Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri, beliau telah memberi pengiktirafan kepada Hari Malaysia pada 16 Sept dengan mengisytiharkannya sebagai cuti umum kebangsaan.

"Malah beliau turut meminta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani kehadiran sejumlah besar pendatang asing tanpa izin di Sabah dan bersetuju ditubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk menyelesaikan isu MA63."

"Najib malah mengisytiharkan bahawa apa juga hak (dalam MA63) yang diambil secara tidak sengaja atau sengaja akan dikembalikan. Adakah Mahathir atau Muhyiddin pernah bercakap tentang perkara berkenaan sebelum ini," soalnya.

"Sekarang Shafie mahu memuktamadkan isu MA63 dalam tempoh masa yang singkat. Beliau hanya mempergunakan perkara itu untuk memperbodohkan rakyat dan meraih faedah politik untuk mencapai impiannya," katanya.

Beliau berkata Shafie tidak sepatutnya mengelirukan diplomasi senyap dan membawa isu itu ke meja perundingan untuk dibincangkan sebagai menurut perintah kerajaan Persekutuan dan perdana menteri.

Musa berkata dengan menjalin hubungan rapat dengan kerajaan Persekutuan telah memberi laluan kepada beliau untuk membangkitkan isu-isu Sabah dan pembangunan yang diperlukan untuk dibincangkan dengan Najib, sekali gus membolehkan beliau memohon peruntukan besar bagi pembangunan sosio-ekonomi dan projek berimpak tinggi di negeri ini.

Source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1457024

Search