Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mahu pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini turun ke bawah menunjukkan manifesto BN kepada rakyat yang memberi pelbagai manfaat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu juga berkata manifesto yang dibentang Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Razak itu adalah dari hati BN yang terbaik kerana meliputi seluruh rakyat negara ini termasuk di Sabah.

“Saya minta pemimpin BN turun ke bawah bawa manifesto ini tunjukkan kepada rakyat, apa yang diberikan PM kepada kita banyak dan kita juga tahu selama ini apa yang dijanjikan beliau (PM) dikotakan, kata dikota janji ditepati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dirasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang turut dihadiri pemimpin kabinet negeri dan masyarakat setempat.

Katanya, janji yang dilakukan BN sentiasa ditepati yang selama ini telah terbukti melalui rekod pencapaian kerajaan dan ianya berbeza dengan pihak pembangkang yang hanya tahu dan pandai bercakap kosong.

“Apa guna berjanji kalau tidak ditepati, pemimpin kita sentiasa menepati janji oleh itu kita harus sedar jangan terikut, jangan terpengaruh oleh pemimpin pembangkang lagi-lagi Warisan yang masuk keluar kampung bawa janji kosong.

“Kerajaan BN berani cakap sebab kita ada bukti, UTC sudah ada di Tawau, di Keningau dan akan datang di Sandakan, bukti ini penting, kita cakap kita buat kita laksanakan, ini cara kita sedangkan pihak pembangkang cakap angin,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat membuat pertimbangan sewajarnya dengan menghargai usaha serta kebaikan yang dilakukan kerajaan BN selama ini dalam menunai dan melaksana impian seluruh rakyat apabila tibanya hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kalau ada yang cakap pemimpin BN itu sudah jatuh, syok sendiri itu bohong, kedatangan rakyat pada program memberi sokongan tanda pemimpin dan rakyat di sini bersatu hati dan orang Sabah orang tahu menilai, mengenang budi kalau pemimpin baik hati mereka senang hati,” katanya.

Musa berkata rakyat perlu terus memberi sokongan kepada BN kerana BN berada di landasan tepat dan benar. “Jangan dengar pemimpin pembangkang, mereka iri hati bukan ada apa, mahu rebut tempat mahu jadi PM, kita sudah ada PM yang sihat dan masih muda kenapa mesti cari orang lama biarlah dia berehat,” katanya.

Mengenai UTC pula Musa berkata, ianya memberi kesenangan khidmat dan kesejahteraan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang diberikan berkualiti dan memudahkan urusan berbanding sebelum ini.

Terdahulu beliau berkata banyak lagi ingin dilaksana kerajaan BN di negeri ini termasuk pembangunan wilayah selatan Sabah merangkumi Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak yang akan dilancar bagi mengenalpasti potensi yang boleh dimajukan di kawasan ini.

“Ini juga ehsan PM dan kalau diamati dasar yang diilhamkan oleh PM semuanya ke arah menolong dan membantu rakyat,” katanya

 

Source: http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/22927 

Search